Bintang realiti Akademi Fantasia 2015, Iqwan Alif memberitahu, dia kini dilarang mengambil makanan pedas gara-gara menghidap penyakit gastrik.
Jelas penyanyi lagu Wow itu, hasil pemeriksaan dua hari lalu, doktor memaklumkan tiada apa yang perlu dibimbangkan.
“Alhamdulillah, dah discaj semalam (Khamis). Terima kasih sebab mendoakan, kongsi pengalaman, bertanya khabar, hargai sangat.
“Aku faham sangat rasa sakit itu macam mana. Yang penting, jaga waktu makan. Allahuakhbar, seksanya sebab dia kacau fizikal dan mental sekali gus!
“Sekarang ini tengah berpantang, tak boleh makan pedas-pedas, kopi tak boleh, kekacang pun sama sebab masih dipantau,” kongsinya di media sosial.
Iqwan berpesan, jika hal sama berlaku, terus saja ke hospital untuk lakukan rawatan lanjut sebelum keadaan jadi lebih parah.
“Jangan sesekali abaikan sarapan atau makan tengah hari. Wajib ambil walaupun tengah diet. Makan malam pukul 7. Jangan kerap makan lewat malam kemudian tidur. Sangat tak sihat!
“Kita hanya dapat kawal dengan berdisiplin tentang pemakanan kita. Tak mengapa, sakit itu penghapus dosa, insya-Allah.
“Semoga diangkat kesakitan ini, dengan izin-Nya dapat menyembuhkan penyakit kita semua, semoga dimakbulkan,” tambahnya lagi. – BOOM!