Pelakon Iman Zulkarnain mengakui kegagalannya untuk berlaku adil dari segi emosi mengakibatkan dia akhirnya berdepan dua kali perceraian.
Katanya, pada awal dia beranggapan mampu berpoligami secara adil namun sangkaannya itu akhirnya meleset.
Beranggapan ada hikmah dengan apa yang berlaku, Iman, 31, menitipkan pesanan agar lelaki di luar sana “jangan cari penyakit.”
“Sebelum kahwin memang saya dah fikirkan semasak-masaknya. Pada awal memang saya yakin bahawa saya mampu dan tiada masalah untuk membahagikan nafkah dari sudut ekonomi.
“Tetapi siapa sangka, cabaran dalam berpoligami adalah bagaimana caranya hendak membahagi dua emosi dan perasaan saya.
“Pesan saya, lelaki di luar sana jangan nak cari penyakit,” katanya.
Pelakon Air Mata Pendosa itu berkata, perceraian atau krisis dalam berumah tangga mungkin mampu dielakkan sekiranya seseorang suami itu boleh memainkan peranannya dengan baik.
Serik berpoligami, Iman nyata kesal dengan kesilapan diri sendiri yang menjadi punca kepada perceraian tersebut.
“Yang bermasalah adalah saya kerana kegagalan saya.
“Saya tidak mampu untuk bahagikan emosi dan perasaan kepada mereka,” katanya.
![](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2022/04/WhatsApp-Image-2022-04-07-at-2.25.26-PM-300x168.jpeg)
Iman mendirikan rumah tangga dengan isteri pertama pada 28 Januari 2012.
Hasil perkongsian hidup itu, pasangan berkenaan dikurniakan tiga anak berusia, 10, 6, dan 4 tahun.
Dia mendirikan rumah tangga dengan isteri kedua pada 15 April 2019 tetapi bercerai pada Disember tahun sama.
Perkahwinan tersebut tidak dikurniakan sebarang cahaya mata.
Pada tahun lalu, Iman melafazkan talak ke atas isteri pertamanya pula namun proses pengesahan perceraian itu masih berjalan.
Iman berazam untuk tidak lagi menyakiti mana-mana wanita lain sekiranya dia mahu berumah tangga lagi.
![](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2022/04/WhatsApp-Image-2022-04-07-at-2.20.06-PM-240x300.jpeg)
Mengakui dirinya kini sudah pun menjadi tunangan orang, Iman berjanji selepas ini untuk mengahwini hanya satu wanita.
“Sejujurnya saya serik. Saya serik untuk sakitkan hati manusia lagi. Jika nak berkahwin, biarlah satu saja kali ni,” katanya yang merancang menamatkan status dudanya tahun depan.
Dalam perkembangan lain, Iman bakal muncul memeriahkan sambutan Syawal melalui telemovie arahan Rashid Sibir berjudul Jeman.
Dia akan membawa watak seorang lelaki autisme yang didera ibu tiri. Naskhah itu dijadual menemui penonton melalui Awesome TV Malaysia penghujung Ramadan ini. – BOOM!