Aizat Amdan beristighfar panjang apabila ditanya soalan mengenai imej wajah bayi yang didakwa anak kandungnya.
Kata penyanyi itu, dia bukan seorang lelaki jenis hidung belang yang mempunyai ‘anak haram’, malah menegaskan masih belum bernikah dengan sesiapa pun.
Menurut Aizat, bayi yang semirip dengan wajahnya seperti yang dimaksudkan itu merupakan anak kepada kakaknya.
“Itu anak kakak saya. Saya tak akan buat begitu (ada anak tidak sah status) sebab masih belum berkahwin,” jelasnya menjawab tuduhan dilemparkan.
Bagaimanapun, pemilik nama penuh Muhammad Aizat Amdan, 33, itu mendedahkan, dia baru saja merisik kekasih hati yang merangkap pengurus syarikatnya iaitu, Elysaa Alia, 34.
Kata Aizat, gambar bayi berkenaan dimuat naik Elysaa di media sosial kerana wanita berkenaan sememangnya seorang yang penyanyang dan gemar melayan karenah kanak-kanak.
“Kebetulan, Elysaa sukakan budak-budak. Sebab itu dia berkongsi gambar anak kakak saya,” jelasnya merungkai kekeliruan.
Aizat berkata demikian ketika majlis berbuka puasa bersama media anjuran Armani Entertainment Group di Kuala Lumpur semalam.
Menurut Aizat, dia bakal mendirikan rumah tangga pada tahun ini, namun perlukan masa untuk mengumumkan tarikh berlangsungnya hari bahagianya kelak.
Katanya, segala perkembangan mengenai majlis itu akan diuar-uarkan sebaik semua persediaan diselesaikan.
“Insya-Allah, saya akan maklumkan nanti. Sekarang ni kami belum boleh beritahu apa-apa kerana bergantung kepada situasi semasa.
“Memang kami ada berusaha ke arah itu seperti mencari lokasi yang bersesuaian,” katanya. – BOOM!