Ustazah Asni Mansor bakal menyalurkan wang berjumlah RM3,600 yang diperoleh hasil daripada lukisan yang dibida pelakon Mimi Lana.
Lukisan kanvas peta Palestin hasil tangannya itu pada awalnya dibuka dengan harga bidaan sebanyak RM3,000.
Menurut Ustazah Asni, kesemua wang yang diperoleh tersebut akan disalurkan ke Tabung Cinta Gaza.
Lelongan tersebut dilakukan semasa majlis ilmu yang dianjurkan oleh pelakon, Betty Rahmad pada malam Selasa.
Mimi atau Mimi Roziana Zainal Abidin, 27, dalam satu hantaran di Instagram berkata penganjuran majlis agama itu membolehkan mereka berkongsi ilmu dan penyertaannya memberikan pengalaman cukup indah.
“Terima kasih Betty Rahmad kerana menjemput saya dan menganjurkan majlis bacaan Yassin untuk saudara kita semua di Palestin.
“Majlis semalam (Selasa) disusuli Majlis Tausiyah bersama Ustazah Asni Mansor.
“Ia merupakan majlis perkongsian yang indah dan saya mempunyai pengalaman yang sangat berharga. Alhamdulillah,” ujarnya pada Rabu.
Selain Mimi, selebriti lain yang turut hadir ialah Nora Danish, Azira Shafinaz, Uqasha Senrose, Nelydia Senrose dan ramai lagi.
Selain Mimi, lukisan Asni turut dibida pelakon Uqasha Senrose dan Nora Danish. – BOOM!