Bekas anggota VE iaitu Cham mendedahkan, dia tidak pernah berhajat menyertai program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV-9), sehinggalah dipujuk oleh Zaf.
Cham atau nama sebenarnya Charma Adizalilullah Abdul Khalil bagaimanapun tidak menyangka, Zaf tiba-tiba membuat keputusan menarik diri pada saat akhir atas alasan mereka belum bersedia untuk bertanding.
![](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2022/12/photo_2022-12-06_16-55-52.jpg)
“Zaf tarik diri pada saat akhir iaitu sehari sebelum sesi fotografi GV9 berlangsung. Dia minta kami semua buat perkara sama dan bagi alasan kumpulan ini belum bersedia untuk bertanding.
“Bagi saya, ia perkara yang tidak masuk akal kerana kami semua sudah menandatangani kontrak penyertaan.
“Pengurusan juga sudah bersetuju dan aturkan semua. Malulah kami kalau tarik diri saat akhir.
“Kalau ikutkan, saya selaku anggota asal VE memang tak mahu sertai GV. Tetapi, diteruskan juga sebab dipujuk dan dia yakinkan saya.
“Kemudian, dia pula yang berundur dan tiba-tiba muncul pelbagai isu mempertikaikan penyertaan kami dalam program tersebut,” jelasnya.
Selain itu, Cham dan anggota lain hairan apabila Zaf seolah-olah cuba masuk campur urusan VE sepanjang pembabitan mereka dalam GV-9.
![](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2022/12/afveee_1669979587.webp)
“Sewaktu dia mesej hendak maklumkan tidak dapat sertai GV, segala urusan diserahkan kepada saya. Tetapi, dia bising apabila tidak terima sebarang maklumat terkini.
“Sepatutnya, dia tidak perlu ambil tahu lagi kerana semuanya dah jadi tanggungjawab saya.
“Ini tak, dia tetap anggap dirinya ketua kumpulan sedangkan ketika itu saya, Hakim, Adeep dan Fakhiz yang berjuang di GV9. Kenapa dia macam mahu kawal kami?
“Dari dulu lagi, Zaf kalau boleh segala-galanya mahu ikut cakap dia, sampaikan imej dan pemilihan lagu pun dia nak tentukan. Walhal, dalam barisan VE yang baharu, tiada sesiapa jadi ketua.
“Semua berhak memberikan pandangan sebelum mencapai kata putus. Tetapi dia pula rasa dipinggirkan,” getus Cham.
Tokoknya lagi, kepincangan itu mula disedari sejurus Cham bersama tiga ahli lain menubuhkan kumpulan WhatsApps baharu, sekali gus menyebabkan Zaf keciciran maklumat mengenai perkembangan semasa VE.
![](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2022/12/Screenshot-2022-12-06-at-10.webp)
Rentetan konflik tersebut, Cham, Adeep, Hakim dan Fakhiz sepakat membuat keputusan untuk mengundur diri daripada VE selepas Zaf membangkitkan isu penggunaan nama kumpulan berkenaan.
Terdahulu Zaf menyarankan, barisan anggota yang menyertai GV-9 haruslah menggunakan nama baharu untuk bergerak dalam industri seni selepas perjuangan mereka tamat.
Menurutnya, tindakan itu bukan berniat untuk mengeruhkan keadaan, sebaliknya demi menjaga silaturahim sesama mereka, selain mengelak timbulnya kekeliruan dalam kalangan pihak luar. – BOOM!
Sumber: Utusan Online!