Bulan lalu, bekas siarawan, Kudsia Kahar menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya mendakwa wujud budaya suapan dalam industri penyiaran terutamanya di stesen radio.
Berpengalaman hampir dua dekad dalam dunia tersebut, Kudsia, 52, berkata, ada stesen yang meminta habuan berbentuk barangan sebelum sesebuah lagu baharu itu diputarkan.
Terpanggil memberikan maklum balas, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim menyatakan, pihaknya meminta Kudsia tampil ke depan menunjukkan bukti.
![](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2022/04/Screenshot-2022-04-11-145641-227x153.png)
“Kami belum menerima aduan berhubung isu ini. Dakwaan tersebut agak serius kerana boleh memburukkan nama baik stesen yang terlibat, di samping mencemarkan imej industri penyiaran negara.
“Bagi mengelakkan spekulasi terus disebarkan tanpa sebarang kesahihan, saya harap sesiapa saja lalui pengalaman seperti yang dimaksudkan agar membuat laporan.
“Ini bertujuan memudahkan pihak RIM membuka fail siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya jika sabit kesalahan,” ujarnya.
Tambah Rosmin, seandainya membabitkan salah guna kuasa dan sogokan, perbuatan itu akan diunjurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut. – BOOM!