Pertemuan tidak dijangka antara penyanyi sensasi Baby Shima, 28, dan pengacara Zhiddin Aziz, 22, akhirnya membawa kepada perdamaian, menamatkan konflik selama dua tahun.
Segalanya bermula apabila Zhiddin mengkritik gelekan Baby Shima di sebuah majlis rumah terbuka pada 2022, selain mempersendakan penggunaan tatabahasanya di media sosial. Baby Shima pula tidak berdiam diri dan membalas kritikan Zhiddin menerusi video-video sindiran.
![](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2024/12/BABY-SHIMA-3-scaled-1.jpg)
Namun, pertemuan mereka pada satu majlis makan malam baru-baru ini menjadi titik tolak untuk meleraikan perbalahan tersebut. Baby Shima hadir sebagai penyanyi, manakala Zhiddin bertugas sebagai pengacara majlis.
“Saya tak tahu Zhiddin ada dalam majlis itu. Pertemuan ini tak dirancang. Tapi bila dia datang dan minta maaf secara berdepan, saya rasa keikhlasannya dan memilih untuk memaafkannya,” kata Baby Shima.
Tambahnya, dia bukannya suka bermusuh dan percaya bahawa memaafkan adalah jalan terbaik.
“Kemaafan itu lebih indah, dan saya tak mahu terus larut dalam persengketaan,” katanya.
Sementara itu, Zhiddin mengakui kesalahannya dan berkata dia mula menyedari tindakannya salah selepas beberapa video kecamannya tular.
“Saya pernah hanyut dalam arus kecaman netizen, tapi bila muhasabah diri, saya sedar perselisihan ini tak membawa kebaikan. Saya ingin berdamai dengan Baby Shima sejak dulu lagi,” kata Zhiddin.
Pertemuan mereka berlangsung dalam suasana harmoni, malah keduanya berbincang untuk menghasilkan kandungan media sosial bersama.
“Malam itu membuktikan, perselisihan tidak bermakna kita perlu bermusuhan selamanya,” kata Zhiddin.
Dengan perdamaian ini, kedua-duanya berharap dapat meninggalkan konflik lalu dan fokus kepada usaha lebih bermanfaat dalam industri hiburan.
Sumber: Berita Harian