Penyanyi versatil Anita Sarawak yang sudah lama menyepi daripada dunia seni sejak 2011 akhirnya memberi khabar terkini mengenai dirinya.
Menerusi perkongsian Roslen Fadzil, penulis lirik dan bekas wartawan hiburan, Anita menolak jemputan untuk membuat persembahan dalam Konsert Tribute Adnan Abu Hassan yang dirancang berlangsung di Kuala Lumpur pada 2025.
Roslen mendedahkan bahawa beliau berusaha mendapatkan Anita dengan bantuan adik angkatnya, Shuib Taib. Akhirnya, mereka berjaya menerima balasan mesej WhatsApp daripada suami Anita, Mahathir Abdullah.
“Hi Shuib. Terima kasih kerana sudi menghubungi. Anita merasa sedih apabila mengenang kenangan bersama Adnan. Beliau merupakan salah seorang produser terbaik sepanjang zaman. Sampaikan salam kami kepada keluarganya, mereka pasti bangga dengan bakat hebat arwah,” tulis Mahathir.
Namun, Mahathir memaklumkan bahawa Anita kini lebih selesa menjalani kehidupan privasi dan memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi jemputan penganjur.
Anita sudah bersara dan memilih kehidupan yang lebih tenang. Kami amat menghargai tanda ingatan ini, tetapi mohon maaf kerana tidak dapat menjayakan konsert ini,” jelasnya lagi.
Terdahulu, kehilangan Anita dari radar dunia seni pernah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan peminatnya. Namun kini, jawapan yang diterima menggambarkan keutamaan hidup Anita yang beralih arah ke privasi penuh bersama suaminya di Las Vegas. – BOOM!