“Ada ketikanya, saya menitiskan air mata bila terkenang kenangan bersama arwah ayah.” Demikian kata pengarah, Amin Khalid, yang meneruskan legasi bapanya, Allahyarham Mamat Khalid dan kini siap mengarahkan karya berjudul 19 Puasa: Playboys Of Plestik Hitam.
Amin berkata, kenangan-kenangan itu terimbau kerana dia sudah terbiasa bersama bapanya di set penggambaran sejak zaman kanak-kanak.
“Tak dinafikan, memang perasaan sayu itu ada sepanjang saya mengarahkan karya ini sebab saya dah terbiasa berada di set bersama ayah sejak kecil lagi.
“Bahkan, ada juga ketikanya saya menitiskan air mata kerana terkenangkan kenangan lama. Tapi, bukanlah di depan orang ramai,” katanya.
Tambah Amin, dia juga mengambil masa beberapa tahun bagi mengumpul semula semangat sebelum kembali mengarah selepas kematian bapanya.
“Alhamdulillah, ramai yang berikan saya semangat untuk meneruskan karya arwah ayah saya. Selepas pemergiannya, saya ambil masa lebih kurang dua ke tiga tahun untuk mengumpul semangat.
“Ibu, adik beradik serta sahabat-sahabat arwah ayah pun ramai yang memberi semangat serta perangsang kepada saya,” katanya.
Amin juga turut mendapat bantuan daripada sahabat bapanya, Mohd Latiff Zami atau Yeop Hitler dalam proses mencari idea.
“Idea untuk karya kali ini, saya cari bersama-sama dengan Yeop Hitler. Alhamdulillah, dia sudi membantu saya.
“Apabila dah lama tak mengarah, saya nak berikan penghormatan kepada karya-karya arwah ayah dalam francais ini.
“Walaupun pada awalnya, saya merasakan bahawa ini satu tanggungjawab berat, namun, lama kelamaan, ia menjadi lebih mudah kerana ramai yang memberi kepercayaan kepada saya,” katanya.
Amin juga bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan pelakon-pelakon yang mudah memberikan kerjasama.
“Saya juga bersyukur kerana dapat bekerja dengan pelakon-pelakon yang mudah memberikan kerjasama. Layanan mereka terhadap saya, sama seperti mana layanan mereka kepada arwah ayah,” katanya.
19 Puasa: Playboys Of Plestik Hitam ditayangkan di platform Astro First dan membariskan barisan pelakon antaranya Bell Ngasri, Aziz M Osman, Joey Daud, Imuda, Dewa Sharwani NS, TJ Isa dan Rashid Mohd. – BOOM!
Sumber: HARIAN METRO