Tampil dengan gaun lut sinar tanpa pakaian dalam di Anugerah Grammy 2025, isteri kepada rapper terkenal Kanye West, Bianca Censori, kini bakal berdepan hukuman penjara.
Bianca, 30, mengejutkan ramai apabila tiba-tiba menanggalkan kot berbulu yang dipakainya di hadapan puluhan jurugambar, sekali gus mendedahkan hampir keseluruhan tubuhnya.
Media melaporkan pereka hiasan dalaman dari Australia itu didapati melanggar undang-undang kerana mendedahkan tubuh secara sengaja di khalayak ramai.
Jika disabitkan kesalahan, Bianca boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan di penjara daerah serta denda maksimum AS$1,000 (RM4,445.51).
Bagaimanapun, sekiranya kesalahan ini berulang, dia berdepan hukuman lebih berat, dengan minimum 10 tahun penjara di penjara negeri.
Tindakan beraninya mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, yang mempersoalkan kelonggaran kod pakaian di acara berprestij seperti Grammy. – BOOM!