Pelawak Namie yang merupakan juara program Muzikal Lawak Superstar musim ketiga (MLS3) bersama kumpulan Ubi tidak menyangka kegagalannya mengawal emosi setiap kali mendengar komen juri disedari oleh penonton.
Menurut Namie atau nama sebenarnya Najmi Shaharudin, 26, dia berasa sebak kerana sedar penat lelah dan pengorbanan yang dilakukan untuk berada di pentas MLS3 membuahkan hasil.
“Sebenarnya bukan hari final sahaja saya beremosi, tetapi minggu-minggu sebelum itu juga. Ketika membuat persembahan selama enam minit saya kosongkan fikiran.
“Tetapi apabila selesai dan mendengar komen juri saya jadi sebak. Maknanya segala usaha selama 10 minggu membuahkan hasil.
“Walaupun ketika itu belum tahu siapa yang menang tetapi daripada komen juri saya sudah boleh mengagak. Alhamdulillah usaha kami tidak sia-sia, tidak perlulah saya ceritakan apa penat lelah dan pengorbanan yang terpaksa dilakukan untuk sampai ke tahap ini,” kongsi Namie kepada wartawan BOOM!
Jelas Namie, selain MLS3 adalah pentas pertamanya sebagai pelawak, bekas guru ini juga mengakui dia seorang yang sensitif dan menghargai nilai sentimental.
“Saya berasa sebak secara automatik tidak tahu pula penonton boleh perasan. Kadang-kala saya terlihat ‘moody’ tetapi sebenarnya hanya berasa sebak kerana ini adalah pengalaman pertama.
“Tidak tahu esok lusa di pentas berbeza perasaannya mungkin berubah. Namun, saya memang seorang yang sensitive dan mudah beremosi,” ujar Namie.
Selepas bergelar juara MLS3 bersama kumpulann Ubi yang turut dianggotai oleh Fad Bocey dan Sharif Zero, Namie menyimpan impian untuk menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega pula selepas ini. – BOOM!