Pengarah berbakat besar, Arjin Uppal berdepan pelbagai kejadian aneh dan menyeramkan sepanjang menjalani penggambaran filem Musyrik – Api Neraka Menantimu!
Filem terbitan White Merpati Entertainment itu dibintangi Aeril Zafrel, Ashraf Muslim dan Ruhainies selaku teraju utama.
Turut serta, Aishah Ilias, Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.
Arjin, 33, berkata, antara kejadian pelik dilalui adalah ketika merakamkan babak heroinnya, Ruhainies memegang batu nisan di tanah perkuburan, jam 3 pagi.
“Batu nesan bukanlah props, sebaliknya saya menggunakan batu nisan sebenar diambil dari tanah perkuburan berkenaan bagi merealisasikan babak ini.
“Ia sepatutnya hanya satu babak panjang, tetapi apabila potong babak ini, kamera masih berpusing dan tidak berhenti seolah-olah ada sesuatu yang menggerakkannya,” katanya.
Arjin berkata, dia pelik dengan kejadian aneh itu kerana tidak pernah berdepan sebelum ini.
“Bayangkan, lampu kamera masih menyala selepas ‘switch off’.
“Hanya selepas bateri dikeluarkan daripada kamera barulah ia berhenti berpusing,” katanya.
![](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2022/06/WhatsApp-Image-2022-06-29-at-1.01.02-PM.jpeg)
Bukan sahaja dirinya berdepan kejadian aneh, kata Arjin, ia turut dialami Aishah yang melakonkan watak Wati, isteri kepada Aeril.
“Ia membabitkan adegan Aishah baring dalam kubur.
“Secara tiba-tiba, seluruh badan Aishah ditumbuhi gelembung gatal dan penggambaran tidak dapat diteruskan,” katanya.
![](https://boom-entertainment.com/wp-content/uploads/2022/06/Musyrik_20-scaled.jpg)
Selaku pengarah, Arjin berkata, dia tetap bertenang ketika berdepan kejadian aneh membabitkan Aishah itu.
“Aishah terpaksa dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan dengan segera.
“Keadaannya kembali okey selepas berehat dan penggambaran hanya disambung semula pada keesokan hari.
“Saya percaya kejadian aneh yang terjadi adalah gangguan mistik,” katanya.
Mengulas mengenai lokasi, Arjin berkata, penggambaran filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! membabitkan dua lokasi iaitu rumah usang yang tidak berpenghuni dan tanah perkuburan.
“Saya masih ingat kami diminta penjaga supaya menyiapkan babak di rumah lama berkenaan sehingga jam 12 tengah malam.
“Namun babak dalam rumah hanya selesai pada jam 2 pagi. Seterusnya, kami terus ke lokasi tanah perkuburan.
“Ketika di tanah perkuburan, saya dapatkan rasakan sesuatu menyentuh belakang leher,” katanya.
Filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! mula menjengah pawagam seluruh Malaysi pada 7 Julai depan. Trailer rasmi filem boleh ditonton menerusi saluran YouTube White Merpati Movies. – BOOM!