Pelakon filem Blok 404, Adrea Abdullah mengesahkan dirinya kembali bergelar ibu tunggal setelah perkahwinannya dengan Zul Selamat berakhir kira-kira dua bulan lalu.
Dilihat memadamkan semua gambar mereka di media sosial, Adrea atau Nik Adrea Nik Abdullah, 45, mengatakan mentalnya didera setelah tiga tahun dinikahi pemuda berusia 32 tahun itu.
“Ya, mulanya memang saya bahagia melayari bahtera rumah tangga di dua tahun pertama perkahwinan kami. Namun hubungan kami mulai dingin sejak hujung tahun lalu.
“Menyedari hal itu, saya berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkannya, tetapi nampaknya usaha itu hanya dari sebelah pihak sahaja,” akuinya yang berguguran air mata.
ARTIKEL BERKAITAN: “Memang Saya Sengaja Buka Pekung Industri” – Adrea Abdullah Cuba Beri Amaran
Enggan perasaannya terus dipermainkan Zul yang dianggap tidak menghargai usahanya, Adrea tekad meminta agar diceraikan.
“Kami baru dua bulan bercerai dan saya masih dalam tempoh idah. Saya lega selepas semua penderitaan dilalui selama ini berakhir,” jelasnya.
Tidak mahu membebankan dirinya dengan perceraian yang terjadi, Adrea memilih untuk aktif berkarya dan akan menerbit serta mengacarakan sebuah program TV dalam masa terdekat.
Katanya, rancangan berjudul Dekorasi Berinspirasi itu akan disiarkan di TV1 dan ia telah pun memasuki musim kedua penerbitannya.
Mengikat tali pertunangan pada 18 Ogos 2017, pasangan berkenaan kemudiannya bernikah pada 9 Jun 2018, namun tidak dikurniakan cahaya mata. – BOOM!