Anggota kumpulan K-pop terkenal, Jennie BLACKPINK , baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke-29 pada 16 Januari. Sambutan istimewa ini turut diraikan oleh ahli kumpulan BLACKPINK iaitu Rose, Jisoo, dan Lisa, yang menitipkan ucapan penuh kasih sayang buat rakan seperjuangan mereka.
Menerusi hantaran di Instagram Story, Rose berkongsi foto dirinya bersama Jennie sambil membelai seekor anjing. Dalam coretan manisnya, Rose meluahkan rasa syukur kerana memiliki Jennie sebagai seorang kakak yang menemani perjalanan hidup mereka dalam dunia muzik antarabangsa.
“Saya amat bersyukur kerana dikurniakan seorang kakak seperti kamu untuk menemani perjalanan hidup ini. Betapa indahnya dapat membesar bersama dan menjalin hubungan yang semakin erat saban tahun sambil memiliki kamu sebagai unnie (kakak) yang sentiasa ada di sisi,” tulisnya.
Tambah Rose lagi, dia menghargai setiap momen mereka bersama dan tidak sabar untuk mencipta lebih banyak kenangan indah pada masa hadapan.
“Saya sangat menghargai setiap momen ‘comel’ yang kita lalui bersama dan tidak sabar untuk mencipta lebih banyak kenangan indah sambil berkongsi kehidupan yang penuh warna ini bersama-sama. Namun, untuk hari istimewa ini, yang paling penting, selamat hari lahir! Saya menyayangimu sepenuh hati. Selamat Hari Jendeuk!” tambahnya.
Ucapan penuh emosi turut dikongsi oleh Jisoo, yang menggambarkan Jennie sebagai punca kebahagiaan dalam hidupnya.
“Kamu tak tahu betapa gembiranya saya kerana kamu adalah salah seorang yang boleh saya panggil sebagai keabadian saya. Saya sayang kamu. Selamat hari lahir, Jendeukie saya,” tulisnya.
Sementara itu, Lisa pula berkongsi video kenangan bersama Jennie sedang menari. Dalam hantarannya, Lisa menyifatkan Jennie sebagai “partner in crime” dan meluahkan rasa tidak sabar untuk bertemu dengannya.
“Selamat ulang tahun kelahiran my partner in crime. Semoga awak mempunyai hari yang paling indah dan tak sabar untuk jumpa awak tidak lama lagi,” tulis Lisa.
Ucapan penuh kasih ini jelas membuktikan hubungan erat antara ahli kumpulan BLACKPINK, menjadikan ulang tahun Jennie lebih bermakna bagi peminat dan rakan seperjuangan. – BOOM!